Saturday 25 August 2012

Prinsip Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-kanak


4 KAJIAN PERKEMBANGAN DAN PERTUMBUHAN KANAK-KANAK

Kajian terhadap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak telah lama dibuat oleh tokoh-tokoh psikologi. Menurut kajian ahli psikologi, perkembangan manusia berlaku dari empat aspek perubahan iaitu jasmani, mental, emosi dan sosial yang dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. Antara tokoh-tokoh psikologi yang membuat kajian ke atas perkembangan kanak-kanak ialah Jean Piaget yang terkenal dengan Teori Perkembangan Kognitif Kanak-kanak, Teori Perkembangan Sosial Kanak-kanak oleh Diana Baumrind, Arnold Lucius Gesell dengan Teori Kematangan Kanak-kanak. Secara terperincinya, tokoh-tokoh psikologi membuat kajian ke atas seseorang kanak-kanak yang membesar secara fizikal yang juga akan membina kualiti kelakuan dan personalitinya berdasarkan kepada empat faktor tingkah laku. Empat kategori pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak itu ialah perkembangan fizikal, perkembangan kognitif, perkembangan afektif dan psikologi, dan perkembangan sosial.

Perkembangan fizikal merujuk kepada tumbesaran saiz badan dan organ-organ fungsi sistem fizikal dan kordinasi kemahiran motor yang halus dan kompleks. Seseorang individu membesar dari keadaan bayi hingga ke keadaan saiz dewasa sebelum mengecut kembali apabila badan mula melalui prosese penuaan. Merujuk Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, perkembangan fizikal adalah proses perkembangan kemahiran psikomotor dalam diri individu. Kemahiran tersebut biasanya memerlukan penggunaan anggota badan, misalnya seorang kanak-kanak yang bermula dengan kemahiran mengenal huruf, menulis dan kemudian membaca.


Berbeza dengan pendapat di dalam carian laman web http://www.scribd.com, perkembangan fizikal dapat ditakrifkan sebagai perubahan saiz fizikal, kadar pertumbuhan bahagian-bahagian badan, fungsi anggota-anggota badan dan perawakan manusia. Selain itu, carian di dalam laman web http://www.mycreche.com.my/services.htm pula, mentakrifkan perkembangan fizikal sebagai perubahan dari segi bentuk, saiz, kebolehan mengawal pergerakan motor kasar dan motor halus serta koordinasi anggota badan. Secara huraiannya, pembentukan manusia adalah hasil daripada satu sel persenyawaan benih ibu dan bapa yang akan membesar menjadi janin dalam kandungan ibu selama sembilan bulan sebelum dilahirkan. Kemudiannya, bayi itu akan berubah secara beransur-ansur menjadi seorang kanak-kanak yang membesar. Maka, proses perubahan yang dilalui bayi itulah dipanggil proses pertumbuhan dan perkembangan.

Perkembangan kognitif mengupas isu kemahiran yang merangkumi kemahiran membaca, menulis, mengira, berfikir secara kreatif dan kritis. Perkembangan ini adalah perubahan-perubahan yang berlaku semasa otak manusia berfungsi. Ini bermaksud persepsi, pembentukan konsep permerolehan bahasa, daya ingatan, kebolehan ruang dan kebolehan matematik. Lain-lain aspek perkembangan kognitif ialah kebolehan penghujahan, penaakulan secara rasional untuk penggunaan dalam penyelesaian masalah-masalah logik. 

Menurut Siti Hawa Munji dan Ma’rof Redzuan dalam buku Pengantar Psikologi, perkembangan kognitif dikatakan sebagai perkembangan fikiran dan intelek manusia. Selain itu, perkembangan kognitif kanak-kanak dalam carian laman web http://www.anakku.my/artikel menyifatkan perkembangan kognitif sebagai proses peningkatan keupayaan pemikiran, pengetahuan dan intelektual kanak-kanak. Dalam kata lainnya, proses ini melihat kepada kemampuan kanak-kanak dalam menjana akal budi dalam pelbagai aktiviti penyelesaian masalah di samping memahami dan menganalisa masalah tersebut.  Secara amnya, bidang ini mementingkan siasatan ke atas bagaimana seseorang kanak-kanak dapat berkembang dari satu usia ke usia mental yang lebih tinggi. Dalam usia tersebut, kanak-kanak biasanya mula membentuk pengetahuan serta pemahaman baru terhadap pengalaman yang dilaluinya. Justeru, perkembangan kognitif ini merupakan salah satu daripada proses tumbesaran yang dilalui oleh setiap kanak-kanak.

Aspek perkembangan afektif dan psikologi menurut Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan aspek kemahiran mengurus dan mengawal emosi. Aspek ini merujuk kepada perkembangan perasaan, emosi, dan kelakuan individu. Ia melibatkan kebolehan untuk mengetahui diri sendiri dan kebolehan untuk mengurus emosi serta ketrampilan diri. Dalam proses perkembangan ini, kanak-kanak sudah dapat mengawal perasaan dalam situasi tertentu. Emosi ialah gambaran perasaan pada wajah seseorang manakala pertumbuhan kanak-kanak pula akan berlaku apabila kanak-kanak berusia pada umur dua bulan setengah hingga tujuh bulan bayi dapat menggambarkan pada wajahnya perasaan seronok, gembira, duka, takut, sedih, bimbang dan sebagainya. Perasaan gembira digambarkan oleh bayi apabila dia dapat menguasai sesuatu seperti dapat berdiri, dapat memicit butang televisyen dan sebagainya dan akan berasa marah jika keinginannya untuk melakukan sesuatu dihalang.

Perkembangan afektif dan psikologi lebih dikaitkan dengan perasaan iaitu suatu aspek penting dalam dalam kehidupan seseorang termasuk negatif atau positif kerana ia membantu kanak-kanak membina idea baru, matlamat, dan perancangan. Kemampuan untuk bereaksi secara emosional sudah ada sejak bayi dilahirkan. Gejala pertama perilaku emosional dapat dilihat dari keterangsangan umum terhadap suatu stimulasi yang kuat. Misalnya apabila bayi suka dengan sesuatu, maka bayi akan menghentak-hentakkan kakinya. Sebaliknya bila bayi tidak suka dengan sesuatu, maka bayi bereaksi dengan cara menangis. Contoh lain boleh dilihat pada usia kanak-kanak yang berumur 2 hingga 4 tahun, di mana karakteristik emosi anak muncul pada ledakan marahnya. Ini boleh dilihat  apabila anak-anak menampilkan rasa tidak senang, anak-anak melakukan tindakan yang berlebihan, misalnya menangis, menjerit-jerit, melemparkan benda, atau memukul ibunya. Pada usia ini anak tidak memperdulikan akibat dari perbuatannya, apakah merugikan orang lain ataupun tidak.

Pada usia 5 hingga 6 tahun, emosi anak mulai matang. Pada usia ini anak mulai menyedari akibat-akibat dari tampilan emosinya. Anak mulai memahami perasaan orang lain, misalnya bagaimana perasaan orang lain bila disakiti, maka anak belajar mengendalikan emosinya. Ekspresi emosi pada anak mudah berubah dengan cepat dari satu bentuk ekspresi ke bentuk ekspresi emosi yang lain. Anak dalam keadaan gembira secara tiba-tiba dapat langsung berubah menjadi marah kerana ada sesuatu yang dirasakan tidak menyenangkan, sebaliknya apabila anak dalam keadaan marah, melalui bujukan dengan sesuatu yang menyenangkan anak akan berubah menjadi gembira.

Perkembangan yang terakhir ialah perkembangan sosial.  Dalam buku Perkembangan Kanak-kanak membincangkan perkembangan sosial ialah satu bentuk kemahiran menjalin perhubungan sosial dengan menunjukkan perlakuan yang baik dan sesuai mengikut norma-norma masyarakat. Dalam laman web http://www.geocities.com pula berpendapat perkembangan sosial sebagai satu proses kanak-kanak belajar berhubung dengan orang lain mengikut cara yang diterima oleh masyarakat dan budayanya. Proses ini meliputi cara berfikir tentang kendiri, orang lain dan perhubungan sosial. Perkembangan ini melibatkan proses sosialisasi yang membolehkan kanak-kanak mempelajari tingkah laku sosial atau melakukan penyesuaian sosial mereka iaitu bagaimana individu menjalin hubungan dengan orang lain, membentuk persahabatan, dan ikatan. Ia melibatkan perubahan-perubahan dan perkembangan yang berlaku pada personaliti dan kemahiran berhubung sesama manusia supaya individu dapat menyesuaikan dan menerima persekitaran sosial di sekelilingnya. 


Interaksi kanak-kanak boleh dikesan melalui perkembanganya dalam aktiviti bermain iaitu merupakan satu aktiviti penting kanak-kanak sejak lahir hingga berumur 12 tahun. Ada empat faktor penting yang mempengaruhi kemampuan anak bersosialisasi iaitu adanya kesempatan untuk bergaul dengan orang-orang di sekitarnya dari berbagai usia dan latar belakang, adanya minat dan motivasi untuk bergaul, adanya bimbingan dan pengajaran dari orang lain yang biasanya menjadi “model” bagi anak dan adanya kemampuan berkomunikasi yang baik yang dimiliki anak. 


PRINSIP-PRINSIP PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK 

Apabila membincangkan prinsip-prinsip pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak terdapat lapan prinsip-prinsip seperti mana yang digariskan oleh Ruffin (2001). Prinsip yang pertama perkembangan berlangsung dari kepala ke bawah.  Arah kepala ke kaki yang juga disebut sebagai sefalokandal yang mana perubahan berlaku pada struktur dan fungsi pada bahagian kepala terlebih dahulu kemudian diikuti bahagian belakang badan. Kemudianya perkembangan berlaku di bahagian kaki. Dalam fungsi pergerakan, apabila kanak-kanak ditiarapkan, kanak-kanak itu berupaya mengangkat kepalanya terlebih dahulu sebelum boleh mengangkat dadanya. Contohnya kanak-kanak mula mengawal diri mulai dari kepala, kemudian tangan dan seterusnya kaki. Bayi berkembang bermula dengan kawalan di bahagian kepala, kemudian kawalan di bahagian tangan di mana mereka mempelajari untuk memegang objek-objek. Kemudian mereka akan membina kekuatan dan kawalan pada bahagian kaki dan bermula untuk merangkak, berdiri atau berjalan. 

Prinsip yang kedua perkembangan berlangsung dari tengah badan ke bahagian luar. Arah tengah ke tepi yang juga disebut sebagai promiksodistal. Perkembangan berlaku secara mendatar iaitu dari arah tengah badan menghala ke bahagian luar badan dan ke bahagian hujung anggota. Dari segi fungsi, didapati kanak-kanak menggunakan lengan terlebih dahulu sebelum menggunakan tangan dan jari. Kesimpulannya tahap perkembangan ini menjelaskan bahawa bahagian lengan kanak-kanak berkembang dahulu daripada bahagian telapak tangan dan bahagian tangan dan kaki berkembang dahulu daripada jari-jari. 

Prinsip ketiga merujuk kepada perkembangan bergantung pada kematangan dan pembelajaran. Pada peringkat pertama iaitu selepas lahirnya seorang bayi, mereka hanya dapat menghasilkan gerak balas dengan cara menyeluruh terhadap sesuatu ransangan kerana setiap tulang ototnya belum matang. Sebagai contoh, apabila seseorang bayi hendak mengambil sesuatu objek yang hampir dengannya maka seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangan, sedangkan jari-jari kecilnya tidak dapat digunakannya. Ini menunjukkan bayi tersebut menghasilkan gerak balas terhadap objek tersebut dengan cara menyeluruh. Apabila bayi itu bertambah besar,maka ia akan dapat menggunakan jari sahaja untuk mengambil sesuatu tanpa menggerakkan sebahagian besar anggota badannya yang lain. 

Prinsip yang seterusnya ialah perkembangan berlangsung daripada mudah (konkrit) kepada yang lebih kompleks. Kanak-kanak hanya boleh memahami contoh-contoh konkrit semasa awal zaman kanak-kanak. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang abstrak dan kompleks apabila mencapai zaman keremajaan.  Kanak-kanak menggunakan kemahiran kognitif dan bahasa mudah dalam zaman awal kanak-kanak untuk memberi sebab musabab dan menyelesaikan masalah. Selepas itu, kuasa penghujahan mereka bertambah baik kerana ketika itu mereka sudah boleh membezakan dan mengklasifikasikan objek-objek. 

Selain itu, prinsip tumbesaran dan perkembangan adalah satu proses berterusan. Kanak-kanak membina pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baru berdasarkan pengetahuan lalu. Seperti blok binaan, kanak-kanak membina dan mengumpul pengetahuan beransur-ansur, sedikit demi sedikit. Semua kanak-kanak mengikut pola perkembangan yang serupa. Satu peringkat mengikut pola perkembangan menjadi asas kepada peringkat perkembangan seterusnya. Kanak-kanak mesti pandai mengawal pergerakan tangan untuk memegang pensil atau krayon sebelum mereka dapat melukis atau menulis. 

Prinsip perkembangan yang seterusnya ialah tumbesaran dan perkembangan berlangsung daripada umum ke spesifik. Dalam perkembangan motor, kanak-kanak mestilah sudah boleh menggengam objek dengan keseluruhan tangan barulah mereka boleh belajar mengguna ibu jari dan jari telunjuk sahaja. Tumbesaran berlaku daripada pergerakan otot kepada pergerakan otot yang lebih seni. 

Prinsip yang terakhir iaitu kadar tumbesaran dan perkembangan tersendiri. Setiap kanak-kanak adalah berbeza dan kadar tumbesaran mereka adalah berbeza-beza. Walaupun pola dan ukuran tumbesaran dan perkembangan adalah serupa bagi semua kanak-kanak tetapi kadar pencapaian peringkat tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza. Terdapat satu julat bagi setiap tugas perkembangan untuk berlaku. Walau bagaimanapun, ianya tidak seragam di dalam diri seseorang individu kanak-kanak. Contohnya perkembangan intelek seseorang kanak-kanak mungkin maju lebih cepat daripada perkembangan emosi dan sosialnya. 


KESIMPULAN

Kesimpulannya tahap perkembangan kanak-kanak adalah berbeza dari pelbagai sudut seperti fizikal, kognitif, afektif dan psikologi, dan sosial walaupun masing-masing melalui peringkat pertumbuhan yang sama. Pertumbuhan dan perkembangan seseorang kanak-kanak juga di pengaruhi oleh peranan ibu bapa atau guru. Ibu bapa atau guru seharusnya seiring dan bekerjasama dalam merancang sesuatu perkara bagi membantu pencapaian pertumbuhan kanak-kanak secara optimum supaya tahap perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak berkembang seiring.  Ibu bapa atau guru perlu menyediakan keperluan yang baik bagi membantu kanak-kanak dalam pertumbuhan dan perkembangan mereka. Semua keperluan dan kepentingan terhadap kanak-kanak adalah saling berkaitan. Penyediaan terhadap keperluan dalam mempengaruhi perkembangan dan pertumbuhan seseorang kanak-kanak haruslah perlu dititikberatkan dari aspek keselamatan dan kualiti sesuatu perkara agar perkara tersebut memberi kepentingan kepada kanak-kanak tersebut.
Selain itu, faktor persekitaran juga mempengaruhi tahap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Jika baik persekitaran yang dibina maka pertumbuhan dan perkembangan seseorang kanak-kanak juga baik. Namun jika persekitaran yang dibina ke arah pembentukan yang negatif maka akan mempegaruhi corak pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.






Disediakan oleh: Hasmidar Sawi

4 comments:

  1. thanks...utk pengetahuan am saya

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum puan mintak izin untuk copy dan share.terima kasih

    ReplyDelete
  4. terima kasih puan

    ReplyDelete