Setiap yang hidup pasti akan mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua proses yang saling berkait dan berinteraksi. Sebagai seorang guru, pengetahuan tentang pemahaman mengenai pertumbuhan dan perkembangan adalah sangat penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Ini membolehkan seseorang guru itu membuat perancangan kurikulum dan mencipta teknik mengajar kepada murid-muridnya mengikut kesesuaian berdasarkan kepada peringkat perkembangan. Apabila seseorang guru memahami konsep pertumbuhan dan perkembangan ini, guru akan lebih bersedia dan akan lebih mengenali murid-muridnya. Seseorang guru itu boleh memahami minat dan potensi murid-muridnya. Hal ini membolehkan guru memberi dorongan dan dapat melibatkan murid-murid sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Pertumbuhan bermaksud suatu perubahan yang boleh di ukur atau di nilai satu peringkat ke peringkat yang lain. Perubahan ini mengambil masa yang lama. Selain itu, pertumbuhan juga melibatkan perubahan darii segi kuantiti seperti berat badan, tinggi, lebar dada dan sebagainya yang dapat dilihat pada sesuatu organisma dengan jelas. Menurut beliau lagi pertumbuhan juga melibatkan perubahan struktur dan fungsi tubuh individu dalam proses menuju kematangan.
Menurut Karl Garrison dalam Murugiah, pertumbuhan merupakan perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar.
Menurut Atan Long pula pertumbuhan adalah perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain. Kuantiti pertumbuhan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada pengukuran yang dibuat dari masa ke semasa. Arnold Gesell dalam Kamaruddin Husin, mengatakan bahawa pertumbuhan manusia adalah mengikut corak yang dapat ditelaah. Beliau berpendapat walaupun tidak terdapat dua individu yang benar-benar serupa tetapi semua kanak-kanak yang normal cenderung untuk mengikuti susunan pertumbuhan secara umum yang terjadi pada manusia.
Perkembangan boleh didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur. Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses mencapai kematangan. Perkembangan merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Perubahan menunjukkan sifat yang berbeza daripada tahap perkembangan yang terdahulu. Perkembangan juga adalah sebagai perubahan pada struktur, pendapat dan tingkah laku individu. Ia terhasil daripada fungsi biologi, faktor pemakanan dan pengaruh alam sekitar.
Perkembangan juga merupakan perubahan yang bersifat kualitatif tetapi dapat dilihat dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang terbentuk. Dengan kata lain, perkembangan boleh juga dianggap sebagai proses di mana individu itu mencapai kematangan, pengukuhan dan kestabilan.
Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Manakala menurut Karl E. Garrison, perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Sementara D.S Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan saling berkait serta berhubng dengan pertambahan umur. Atan Long menerangkan perkembangan merupakan perubahan yang bersifat kualiti. Perkembangan membawa seseuatu organisma keperingkat matang dan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan telah dilampaui.
sangat membantu untuk guru-guru prasekolah
ReplyDelete