Saturday, 25 August 2012

Teori Perkembangan Jean Piaget

Jean Pieget
1.     Teori Perkembangan Jean Piaget

Piaget merupakan seorang ahli biologi yang cukup terlatih. Beliau berasal dari Switzerland dan telah menggunakan model biologi untuk menghuraikan perkembangan kognitif manusia. Pada pandangan Piaget, minda boleh berkembang, berubah dan dapat mengadaptasi masalah yang berlaku apabila berinteraksi dengan persekitaran. Di usia remajanya beliau berminat dalam bidang biologi dan epistemologi iaitu suatu bidang ilmu dalam bidang falsafah yang banyak membicarakan tentang perkembangan dan perolehan pengetahuan manusia. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi yang mula diceburi oleh Piaget setelah beliau bekerja dengan Binet untuk membentuk ujian kecerdasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Piaget tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi beliau lebih berminat untuk melihat pola- pola yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan sumbangan pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak.
Penyelidikan Piaget bertumpu kepada pemerhatian kanak-kanak di dalam persekitaran semula jadi mereka. Beliau telah mengkaji perkembangan tiga anaknya sendiri. Piaget telah memperkenalkan empat konsep yang penting, iaitu skema, asimilasi, akomodasi, dan adaptasi.
Skema adalah potensi am yang ada dalam pemikiran manusia untuk melakukan sesuatu. Skema adalah dalam bentuk pengetahuan dunia berfungsi untuk memandu tingkah laku individu. Manakala adaptasi merupakan proses mental yang wujud akibat keseimbangan antara akomodasi dan asimilasi untuk disesuaikan dengan persekitaran. Dua aspek penyesuaian yang dialami oleh seseorang individu, iaitu asimilasi dan akomodasi. Asimilasi dan akomodasi digunakan oleh kanak-kanak ketika dia belajar untuk menyesuaikan diri dengan persekitarannya. Setiap individu hendaklah menyesuaikan diri dengan alam sekitarnya apabila umurnya meningkat. Ini melibatkan asimilasi dan akomodasi. Seseorang individu itu menunjukkan asimilasi ketika dia menggunakan gerak balas yang telah dipelajari kepada rangsangan yang baru. Contohnya, seseorang yang tahu menunggang basikal tidak perlu belajar semula tentang cara mengekalkan keseimbangan di atas kenderaan beroda dua. Pembelajaran tentang cara mengekalkan keseimbangan di atas basikal akan membantunya menunggang motosikal. Ini merupakan asimilasi. Walau bagaimanapun, untuk menunggang motosikal, dia perlu mempelajari menggunakan klac motosikal. Perkara baru yang dipelajari disebut akomodasi. Dengan ini jelaslah asimilasi dan akomodasi berinteraksi untuk mendapatkan tingkah laku baru yang membantu seseorang individu membuat penyesuaian dengan alam sekitarnya. 

-        Teori Perkembangan Kognitif

Jean Piaget amat terkenal dengan perkembangan intelek. Menurut   beliau, tahap perkembangan kognitif bergantung kepada kemampuan berfikir, dengan ini tentu perkembangannya dipengaruhi oleh unsur-unsur biologi. Beliau telah mengutarakan  empat peringkat perkembangan intelek. Iaitu:

i.                 Perkembangan semasa bayi (Peringkat Deria Motor)

Pada pandangan Piaget tahap-tahap perkembangan pemikiran dapat dibezakan atas empat tahap, iaitu tahap pemikiran deria motor, pra operasional, operasional konkrit, dan operasional formal. Pemikiran bayi termasuk ke dalam pemikiran deria motor, Tahap deria motor berlangsung dari kelahiran hingga kira-kira berumur 2 tahun. Selama tahap ini perkembangan mental ditandai dengan perkembangan pesat dengan kemampuan bayi untuk mengorganisasikan dan mengkoordinasi deria melalui gerakan-gerakan dan tindakan-tindakan fizikal. Dalam hal ini bayi yang baru lahir bukan saja menerima secara pasif rangsangan-rangsangan terhadap alat-alat pancainderanya, tetapi juga aktif memberikan respons terhadap rangsangan tersebut, iaitu melalui gerak-gerak reflek.
Pada akhir tahap ini ketika anak berusia sekitar 2 tahun, pola-pola deria motor mereka semakin kompleks dan mulai mengadaptasi suatu sistem simbol yang primitif, misalnya, anak usia dua tahun dapat membayangkan sebuah mainan dan memanipulasi dengan tangannya sebelum mainan tersebut benar-benar ada.
Pada peringkat ini, kanak-kanak banyak menggunakan deria motor (seperti memegang) untuk berinteraksi dan memahami alam sekitarnya. Misalnya, apabila kanak-kanak ini menarik ekor kucing (aktiviti motor) ianya akan menghasilkan jeritan yang kuat (pengalaman kederiaan). Kanak-kanak juga belum memperoleh konsep kewujudan objek. Ini bermakna apabila suatu objek yang pernah dilihatnya telah disimpan, dia menganggap objek itu tidak ada lagi.
Anak juga dapat menggunakan kata-kata sederhana, seperti “mama melompat”.

ii.     Perkembangan semasa awal kanak-kanak (Peringkat Pra Operasi)

Perkembangan kognitif pada masa awal anak-anak dinamakan tahap pra operasional (preoperational stage), yang berlangsung dari usia 2 hingga 7 tahun. Dalam tahap pra operasional pemikiran masih kacau dan tidak di organisasi  secara baik. Pemikiran pra operasional adalah awal dari kemampuan untuk merekonstruksi pada tahap pemikiran apa yang telah ditetapkan dalam tingkah laku. Pemikiran pra operasional juga mencakupi transisi dari penggunaan simbol-simbol primitif kepada yang lebih maju.
Pada peringkat ini, kanak-kanak menggunakan simbol untuk mewakili objek-objek yang dilihat di sekelilingnya. Kanak-kanak mula bertutur tetapi pertuturannya bersifat egosentrik,iaitu dia bercakap sendiri. Mereka juga tidak berminat untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain. Topik perbualan berkisar tentang dirinya.  Kanak-kanak belum memperoleh konsep pengekalan. Sifat pengekalan merujuk kepada bilangan atau jumlah sesuatu elemen tetap walaupun susunan atau penglihatannya telah ditukar ( dengan syarat bahan asal itu tidak ditambah atau dikurangkan) . Contohnya, apabila dua gelas yang diisi air (isi padu yang sama)dituangkan ke dalam Dua bekas yang berlainan; sebuah yang lebih tinggi dan sempit dan sebuah lagi bekas yang lebar dan pendek. Apabila disoal bekas manakah yang mengandungi lebih banyak air, kanak-kanak pada peringkat ini akan mengatakan bekas yang tinggi dan sempit itu. Konsep transformasi juga belum diperoleh. Contohnya,apabila sebatang kayu diletakkan tegak dan kemudiannya diletakkan secara mendatar,kanak-kanak tidak dapat menggambarkan perubahan yang berlaku itu. Lagipun, perhatian kanak-kanak dipusatkan kepada aspek-aspek yang tertentu sahaja. 

Berikut merupakan dua video yang membuktikan kebenaran teori Jean Piaget :




iii.    Perkembangan semasa pertengahan dan akhir kanak-kanak (Peringkat Operasi Konkrit)
         
Pemikiran anak-anak pada masa ini disebut pemikiran operasi konkrit (concrete operational thought). Peringkat Operasi Konkrit ini bermula apabila anak-anak itu mencapai umur 7 hingga 11 tahun. Pada peringkat ini,kanak-kanak hanya dapat menyelesaikan satu-satu masalah yang melibatkan peristiwa atau objek yang konkrit (perkara yang boleh dilihat atau disentuh) . Walau bagaimanapun, keupayaan untuk memanipulasikan konsep dan idea pada tahap ni adalah terhad serta bergantung pada objek yang boleh dilihat atau disentuh sahaja. Contohnya, kanak-kanak pada tahap ini tidak mampu untuk berfikir tentang konsep-konsep yang abstrak seperti demokrasi, keadilan dan seumpamanya. Tetapi pada tahap ini mereka mula menerima pendapat orang lain serta berupaya memberi perhatian kepada semua aspek. Kanak-kanak juga dapat memperoleh konsep ruang, kelajuan dan masa. 


iv.              Perkembangan semasa remaja (Peringkat Operasi Formal)

Dari perspektif teori kognitif Piaget (1983), maka pemikiran masa remaja telah mencapai tahap pemikiran operasi formal (formal operational thought), iaitu suatu tahap perkembangan kognitif yang dimulai kira-kira 11 atau 12 tahun dan terus berlangsung sehingga remaja mencapai masa dewasa. Pada tahap ini kanak- kanak sudah mulai berfikir abstrak dan hipotesis dan pada masa ini juga kanak- kanak sudah mampu memikirkan sesuatu yang akan atau mungkin terjadi, iaitu sesuatu yang abstrak. Di samping itu, pada tahap ini juga remaja juga sudah mampu berfikir secara sistematik, mampu memikirkan semua kemungkinan secara sistematik untuk memecahkan masalah. 

8 comments: