Saturday 25 August 2012

Konsep Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-kanak


Dalam konteks perbincangan ini, penulis akan membincangkan tentang konsep pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Tumpuan perbincangan akan memperincikan secara khusus definisi pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak, empat fokus penting kajian perkembangan kanak-kanak dari sudut perkembangan fizikal, perkembangan kognitif, perkembangan afektif dan psikologi, perkembangan sosial serta lapan prinsip-prinsip yang turut mendasari perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak turut dibincangkan. 
Sebelum menjelaskan aspek-aspek penting di atas, perbincangan ini akan melihat terlebih dahulu definisi kanak-kanak, proses perkembangan tahap umur yang dilalui oleh kanak-kanak serta kronologi kehidupan manusia bermula dari bayi sehingga kematian.  

PENGENALAN 

Pada peringkat berapa tahun umur kanak-kanak itu dikategorikan? Menurut web ensiklopedia Wikipedia, kanak-kanak atau budak (children) ialah manusia kecil yang kebiasaannya berada dalam lingkungan bayi hingga mencapai akil baligh iaitu di antara 0 hingga 10 tahun bagi kanak-kanak perempuan dan 12 tahun bagi kanak-kanak lelaki. Dalam sumber ini lagi menjelaskan melalui Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai hak asasi kanak-kanak, definisi kanak-kanak ialah manusia yang berumur di bawah 18 tahun. Daripada pendefinisian yang diberikan itu jelaslah bahawa kanak-kanak adalah seorang yang digelar budak atau anak kecil yang dimaksudkan sebagai manusia muda iaitu seorang yang belum mencapai baligh serta belum tahu untuk membuat keputusan dengan sendirinya.

Menurut laman web http://el-children.blogspot.com perkembangan kanak-kanak ialah kajian proses dan mekanisme yang bertindak sewaktu perkembangan fizikal dan mental seorang bayi sebelum menjadi orang dewasa. Kanak-kanak terbahagi kepada dua iaitu kanak-kanak awal serta kanak-kanak pertengahan dan akhir. Kanak-kanak awal dari usia bayi sehingga umur 6 tahun sementara kanak-kanak pertengahan dan akhir di antara lingkungan umur 7 tahun sehingga 12 tahun. Kanak-kanak pertengahan dan akhir adalah kanak-kanak mula ingin mengetahui sesuatu yang mereka lihat dan perhatikan.

Perkembangan dan pertumbuhan manusia adalah bermula dari peringkat bayi sehingga kematian. Kelakuan manusia dari setiap peringkat adalah sangat berbeza apabila mereka telah mencapai peringkat dewasa. Manusia telah dikaji sejak bayi lagi iaitu ketika di dalam kandungan. Kita dapat lihat pergerakan manusia bermula dari rahim ibu yang kemudiannya dilahirkan menjadi bayi dan kemudiannya membesar menjadi kanak-kanak. Apabila mengalami proses kematangan, mereka akan memasuki alam remaja yang banyak menimbulkan perbezaan dari aspek mental dan fizikal dan seterusnya menjadi seorang yang lebih dewasa. Peringkat terakhir dalam kitaran hidup manusia ialah kematian yang sememangnya tidak dapat dielakkan.

KONSEP PERTUMBUHAN  KANAK-KANAK

Konsep pertumbuhan bermaksud perubahan yang boleh dinilai dan diukur secara kuantitatif dari satu peringkat ke satu peringkat perkembangan yang lain. Menurut Karl E. Garrison perkembangan individu boleh dilihat dalam bentuk saiz badan iaitu perubahan otot, tulang, kulit, rambut, dan kelenjar. Atan Long mentakrifkan pertumbuhan kanak-kanak ialah perubahan yang diukur dari satu peringkat ke peringkat yang lain dari semasa ke semasa. Menurut D.S Wright dan Ann Tylor konsep pertumbuhan dalam pelbagai sifat luaran seseorang iaitu dari segi sifat jasmani, saiz tinggi, berat badan dan lain-lain.

Daripada definisi yang diberikan, dapatlah dijelaskan bahawa konsep pertumbuhan adalah satu perubahan struktur dan fisiologi yang berlaku kepada tulang, otot, kelenjar, sistem saraf dan semua organ-organ yang lain dalam badan sehingga mencapai kematangan. Perubahan biasanya adalah perubahan fizikal yang melibatkan pertambahan kuantiti  iaitu misalnya perubahan dari segi berat badan, tinggi dan pertambahan saiz badan. Contohnya pertambahan berat badan kanak-kanak dari 10 kilogram semasa berumur 2 tahun dan menjadi 12 kilogram semasa berumur 3 tahun. Pertumbuhan  juga proses perubahan struktur dan fisiologi yang berlaku dalam diri seseorang. Contohnya tulang-tulang rangka badan (skeleton) bertambah jumlahnya  semakin individu membesar dan juga terjadi pertambahan panjang tulang-tulang dari satu peringkat perkembangan yang lain dan pertambahan panjang ini akan terhenti bila pertumbuhan seseorang menjadi matang iaitu ketika remaja. 

KONSEP PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Manakala konsep perkembangan pula merujuk Crow and Crow iaitu perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah yang lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Namun menurut Karl G. Garisson (1975) perkembangan ini terhasil daripada tindakan yang saling berkaitan antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Semua perkembangan ialah mengikut urutan semulajadi dan bersifat sejagat. Ianya merujuk kepada perubahan semulajadi dan ditentukan oleh faktor genetik.. D.S Wright dan Ann Tylor perkembangan merupakan perubahan yang berlaku dalam warisan hayat.

Melalui penjelasan ketiga-tiga tokoh di atas ini, dapat disimpulkan konsep pertumbuhan adalah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat daripada sifat baru yang berlainan daripada sifat yang lebih awal. Ianya bermaksud perkembangan ialah sesuatu perkara yang dapat diukur dengan alat apa sekalipun kerana ia merupakan sesuatu yang bersifat kualitatif bukannya kuantitatif. Proses ini adalah berterusan yang berlaku dalam pola kelakuan, kebolehan mental dan personaliti seseorang individu hingga mencapai proses kematangan. Namun demikian, perubahan ini dapat dilihat dengan membuat perbandingan sesuatu perubahan yang berlaku kepada seseorang individu dengan sifat individu tersebut sebelumnya. Contohnya perubahan pada rambut manusia daripada berwarna hitam semasa remaja menjadi putih pada peringkat akhir dewasa. Perubahan ini adalah stabil, berlaku secara teratur dan progresif dalam arah tertentu. 





Disediakan oleh: Hasmidar Sawi

No comments:

Post a Comment