Saturday 25 August 2012

Teori Perkembangan Robert Havighust


Robert Havighurst dilahirkan pada 5 Jun 1900. Beliau merupakan pemegang ijazah Ph.D dalam bidang kimia dari Universiti Ohio. Beliau pernah menjadi guru Sains di Sekolah Tinggi dan Maktab Perguruan. Havighurst telah mengubah haluan kerjayanya kepada mengkaji perkembangan remaja dan proses pendidikan. Beliau mendapat gelaran Professor Emiritus in Development and Education, dan berjaya menerbitkan buku yang bertajuk “Human Development and Education” pada tahun 1953. 

Robert Havighurst menerangkan konsep tugas dalam teori perkembangannya. Menurut beliau, pada setiap peringkat perkembangan, manusia ada tugas yang perlu dicapai. Keupayaan menyempurnakan tugas tersebut dengan jayanya akan membawa kebahagiaan kepada individu manakala kegagalan dalam menyempurnakan tugas tersebut akan menyebabkan individu mengalami masalah dalam tugasan-tugasan berikutnya. Beliau juga percaya bahawa perkembangan manusia dipengaruhi oleh persekitarannya, nilai-nilai, norma dan budaya masyarakat. 

Setiap kategori tugasan yang timbul adalah akibat daripada kematangan fizikal, perkembangan peribadi dan keperluan masyarakat. Kematangan fizikal merujuk kepada aksi-aksi berjalan, bercakap, akil baligh, tarikan seks dan kesan-kesan monopos. Perkembangan fizikal pula merujuk kepada perkembangan keperibadian, nilai-nilai, pembinaan konsep kendiri, harga diri serta kemahiran untuk berjaya dalam kerjaya. Keperluan masyarakat merujuk kepada proses membina tanggungjawab kepada masyarakat. 

Robert Havighurst telah menyenaraikan enam peringkat perkembangan manusia dalam teorinya. Peringkat pertama ialah peringkat bayi hingga awal zaman kanak-kanak, iaitu dari kelahiran hingga berumur 5 tahun. Berdasarkan teori, pada peringkat ini bayi mula menjalinkan kasih sayang dengan ibu bapanya. Pada tahap ini, kanak-kanak mencapai kecerdasan deria dan memahami sifat objek. Sebagai contoh, mereka ketawa kerana gembira. Melalui pemerhatian, kanak-kanak mula belajar makan makanan pejal dengan sendiri dan berhubung melalui isyarat, simbol atau tanda. Daripada pengalaman dan penerokaan yang dialami, kanak-kanak ini juga mula memahami tindakan-tindakan yang betul dan yang salah. 

Peringkat kedua ialah peringkat pertengahan zaman kanak-kanak, iaitu berumur 6 hingga 12 tahun. Pada peringkat ini mereka mula belajar kemahiran-kemahiran fizikal untuk bermain. Contohnya, belajar membaling atau menyambut bola dengan betul. Mereka mula bersosial dengan kanak-kanak yang sebaya dan mula memahami peranan bermasyarakat. Mereka lebih berdikari dan membentuk konsep diri yang positif. Bagi kanak-kanak yang sudah masuk ke alam persekolahan, mereka mula membina kemahiran-kemahiran membaca, menulis dan mengira. 

Peringkat ketiga ialah peringkat remaja, iaitu berumur 13 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini, persahabatan yang lebih matang dibina dengan rakan-rakan yang dipercayai. Mereka ingin mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa dan orang dewasa. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah memberi lebih perhatian supaya mereka tidak terlalu bebas tanpa pengawasan. Mereka juga mula ingin mengurus kewangan sendiri dan membina ideologi sendiri. 

Peringkat keempat ialah peringkat awal dewasa. Pada umur 19 hingga 29 tahun, mereka mula membuat pilihan-pilihan kerjaya yang bernas di samping memulakan perhubungan intim. Mereka lebih bersedia untuk berkahwin dan memulakan kehidupan rumah tangga. Pertambahan ahli dalam keluarga mengakibatkan mereka mula membentuk kumpulan sosial sendiri. 

Peringkat kelima ialah pertengahan dewasa, iaitu dalam lingkungan umur 30 hingga 60 tahun, mereka mula membantu kanak-kanak dan membenarkan kanak-kanak membuat keputusan. Pada peringkat ini juga mereka berada dalam fasa pengukuhan kerjaya atau mula berkerja sendiri. 

Peringkat keenam ialah pada peringkat kematangan lewat, iaitu berumur 60 tahun dan ke atas. Pada peringkat ini mereka lebih mementingkan kesihatan diri, gaya hidup yang positif  dan pecapaian kerohanian. Mereka sering menggunakan kebijaksanaan dan sering menjadi tumpuan orang lain. 

No comments:

Post a Comment