Saturday, 25 August 2012

Implikasi Teori Perkembangan Dan Pertumbuhan Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran

Pengetahuan mengenai teori perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak akan memberi banyak faedah terutamanya kepada ibu bapa dan guru untuk membuat keputusan mengenai pembelajaran yang perlu ditegaskan. 

Teori perkembangan dan pertumbuhan memberi banyak implikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru seharusnya sensitif dengan perbezaan individu yang wujud dalam kalangan murid-murid. Secara umumnya, guru akan menyediakan objektif, isi pelajaran, bahan dan aktiviti yang sesuai dengan tahap perkembangan dan pertumbuhan murid-mirid bagi tujuan menarik minat mereka di samping persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan. Guru boleh merancang aktiviti berkumpulan untuk membantu perkembangan murid. Aktiviti pembelajaran koperatif dan kolaboratif dapat mambantu tumbesaran dan perkembangan yang berlaianan. 

Selain itu, penyediaan bahan bantu mengajar yang sesuai dan pelbagai dapat membentuk konsep yang tepat serta dapat menarik minat murid-murid. Ini dapat menjana perkebangan kognitif dalam kalangan murid-murid. 

Mengetahui seseorang murid mengalami sesuatu peringkat tugasan pada zamannya, guru akan memahami kelakuan murid dan membantu membina persekitaran pembelajaran yang akan menolong murid tersebut menguasai ciri-ciri perkembangan dalam peringkat tugasan itu. Isi pelajaran disusun supaya mudah difahami. Guru akan menyediakan pelajaran bermula daripada senang kepada yang lebih susah, umum kepada khusus dan konkrit kepada abstrak serta memberikan tugasan yang sesuai dengan tahap pencapaian murid. 

Implikasi pada sudut perkembangan jasmani membolehkan guru menguruskan pengajaran dan permainan serta kerja amali mengikut perkembangan fizikal murid-murid. Guru akan menyediakan aktiviti yang sesuai dengan kematangan murid-murid. Contohnya, guru menyediakan aktiviti senaman yang sesuai, bermakna dan lebih menyeronokkan. 

Dari segi perkembangan emosi dan rohani pula, guru dapat memupuk emosi yang sihat sesuai dengan peringkat perkembangan dan keperluan murid. Guru dapat mengawal atau mencegah tingkah laku yang negatif atau emosi yang tidak diingini. Guru akan bersifat lebih penyayang dan membantu murid-murid mengawal emosi dalam situasi-situasi tertentu. Guru yang memahami peringkat perkembangan emosi murid-murid dan membimbing mereka menghadapi atau menyelesaikan masalah dengan cara yang betul. 

Manakala dari sudut perkembangan sosial, guru akan menggunakan pelbagai strategi pengajaran untuk menggalakkan interaksi dan sosialisasi. Aktiviti projek, perbincangan, permainan secara kumpulan akan merangsang perkembangan sosial murid-murid. Guru boleh mengaturkan aktiviti berkumpulan supaya murid dapat berkerjasama menyelesaikan masalah pembelajaran bersama-sama. 

Teori Perkembangan Lawrence Kohlberg

Lawrence Kohlberg dilahirkan pada 25 Oktober 1927 di Bronxville, New York, Amerika Serikat dan meninggal 19 Januari 1987 pada umur 59 tahun. Beliau berasal dari sebuah keluarga berada. Beliau belajar di Akademi Philips, sebuah pusat pengajian terkenal. Beliau mendaftar ke Universiti Chicago pada tahun 1948 dan telah memperoleh gelaran sarjana dalam psikologi dalam waktu hanya satu tahun. Beliau bunuh diri dengan menenggelamkan dirinya di Lautan Atlantik akibat tekanan dan penderitaan penyakit yang merebak pada masa itu. 

Kohlberg terkenal dengan teori perkembangan moralnya melalui kajian yang telah dijalankan di Pusat Havard untuk Pendidikan Moral. Teori yang dikemukakan oleh beliau ialah lanjutan daripada Teori Jean Piaget. Menurut Kolhberg, pada tahap perkembangan tertentu, kanak-kanak akan mempelajari apa yang betul dan apa yang salah. Dia juga akan memperaktikkan kebaikan, kejujuran, kesetiaan, kepatuhan dan pelbagai jenis aspek moral yang lain, walaupun beliau tidak mengetahui maksud moral yang sebenar. 

Teori perkembangan Lawrence Kohlberg berfokus kepada peringkat-peringkat perkembangan moral dalam setiap individu. Lawrence Kohlberg menekankan bahawa individu berbeza membuat penaakulan tentang pendedahan dan dan perkembangan moral masing-masing. 

Peringkat perkembangan moral bersifat hierarki, berstruktur, bersistematik, dan tidak berbalik. Apabila individu berada pada peringkat yang lebih tinggi bermakna dia telah melalui peringkat moral yang lebih rendah. Cara seseorang menganalisa menginterpretasikan serta  membuat keputusan merupakan perkara yang sangat penting dalam perkembangan moral secara keseluruhannya. 

Tahap yang paling bawah dalam penakulan moral ialah tahap Pra-Konvensional. Pada tahap ini perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut. Dalam tahap ini terdapat dua peringkat iaitu peringkat orientasi kepatuhan dan hukuman dan peringkat orientasi jangkaan individu. 

Peringkat pertama ialah orientasi kepatuhan dan hukuman. Peringkat ini boleh dilihat pada kanak-kanak yang berumur 4 tahun di mana penilaian oleh kanak-kanak ini bergantung kepada kesan fizikal yang akan dikenakan ke atas mereka. Kepatuhan kanak-kanak kepada orang dewasa adalah untuk mengelakkan dendaan. Mereka belum mempunyai kebolehan untuk menilai sesuatu dari segi tujuan tetapi lebih tertumpu kepada akibat yang akan diterima. Mereka tidak dapat membezakan apa yang betul atau salah merujuk kepada harapan masyarakat. 

Peringkat kedua ialah orientasi ganjaran peribadi. Peringkat ini lebih menumpukan kepada kehendak dan perasaan sendiri. Sesuatu perkara itu dinilai baik atau jahat adalah berdasarkan penilaian terhadap kesan ke atas mereka. Ini bermakna apa yang dapat memuaskan hati atau menggembirakan mereka itulah yang dianggap baik dan sebaliknya. Prinsip keadilan bagi mereka ialah sekiranya perkara atau insiden itu berlaku kepada kedua-dua belah pihak. Sebagai contoh jika Ahmad dicubit oleh Arif, jadi untuk berlaku adil Ahmad dibolehkan mencubit Arif. 

Tahap pertengahan di dalam teori perkembangan moral Kohlberg ialah tahap Konvensional. Dalam tahap ini, inividu sudah mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh ibubapa, guru dan komuniti. Tahap ini mengandungi dua peringkat iaitu orientasi perlakuan baik dan akur kepada sistem sosial. 

Peringkat ketiga ialah orientasi perlakuan baik. Pada peringkat ini, ciri utama yang ditunjukkan ialah kecenderungan untuk menolong atau lebih dikenali dengan sifat alturistik. Menolong orang lain yang berada dalam kesusahan atau menyiapkan kerja dianggap sesuatu yang baik. Individu pada tahap ini menolong orang supaya beliau dianggap sebagai orang yang baik. Gelaran budak baik ini penting kerana sikap ini diutamakan dalam kumpulan rakan sebaya. 

Peringkat keempat ialah akur kepada sisitem sosial dan etika peraturan. Pada peringkat ini kita dapat lihat dari segi penghormatan seseorang individu itu kepada undang-undang sedia ada. Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang di atas rasa keyakinan beliau terhadap undang-undang yang ada dan sanggup pula memperjuangkannya. Kohlberg berpendapat seseorang yang berada pada peringkat ini menilai nyawa itu sebagai sesuatu yang kudus atau suci. Ramai remaja dan orang dewasa bertindak berdasarkan pemikiran moral peringkat ini. 

Tahap penaakulan moral yang paling tinggi dalam perkembangan moral Kohlberg ialah Pos-Konvensional. Pada tahap ini individu mula meneroka pilihan, memilih alternatif-alternatif lain dalam penaakulan moral. Mereka mula mempunyai kod moral dan etika yang tersendiri. Dua peringkat yang terdapat pada tahap ini ialah etika kontrak sosial dan hak individu dari etika prinsip sejagat. 

Peringkat kelima ialah etik kontrak sosial dan hak individu. Pada peringkat ini, persoalan seperti hak individu, maruah, keadilan, persetujuan serta tanggungjawab bersama menjadi isu yang dititikberatkan. Tingkah laku moral adalah berteraskan kepada kepentingan sosial dan perjuangan ke arah kedaulatan masyarakat. Individu pada peringkat ini menghormati undang-undang tetapi percaya bahawa undang-undang perlu diubah suai untuk kesejahteraan umat atau manusia. 

Peringkat keenam ialah etika prinsip sejagat. Pada peringkat ini individu menunjukkan ciri-ciri tingkah laku moral berasaskan kesedaran kendiri yang meletakkan nyawa manusia, keadilan dan maruah pada peringkat tertinggi. Kohlberg menyatakan bahawa individu pada peringkat ini melanggar undang-undang bukan kerana tidak menghormatinya tetapi disebabkan oleh rasa tanggungjawab dari segi prinsip etika hak-hak kemanusiaan. Mereka juga sanggup menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan dengan rela kerana menghormati undang-undang yang telah ditetapkan. 

Kohlberg interview 


Teori Perkembangan Erik Erikson

Erik Homburger Erikson dilahirkan di Frankurt, Jerman pada 15 juni 1902. Buku pertamanya adalah Childhood dan Society (1950) yang menjadi salah satu buku klasik dalam bidang psikologi. Erik Erikson merupakan seorang tokoh psikologi yang membentuk satu teori yang komprehensif tentang perkembangan manusia berdasarkan jangka masa kehidupan mereka. Beliau membentuk teori berdasarkan kepada pengalaman kehidupannya sendiri. Teori beliau digelar psikososial kerana beliau menggabungkan tiga faktor yang mempengaruhi perkembangan individu faktor kendiri, emosi dan faktor sosial. 

Berdasarkan Teori Perkembangan Erik Erikson, manusia berpotensi mengalami perkembangan psikologi yang sihat dan mampu mengatasi kesulitan mengikut masa dan pringkat perkembangan tertentu. Terdapat lapan peringkat perkembangan emosi manusia yang dikaji oleh Erik Erikson. Setiap peringkat akan timbul tingkah laku positif dan negatif yang membawa masalah penyelesaian psikologikal kerana konflik emosinya. 

Peringkat pertama ialah fasa kepercayaan lawan kecurigaan, iaitu pada peringkat umur 0 hingga 18 bulan. Pada peringkat ini bayi mula menjalinkan hubungan kasih sayang dan kepercayaan dengan ibu bapa atau membentuk perasaan tidak percaya. Sebagai contoh, dapat dilihat pada kebanyakan bayi yang baru lahir. Bayi akan berasa selamat dan percaya pada ibu bapanya serta dapat merasai kasih sayang yang dicurahkan sepenuh hati. Sebaliknya, bayi akan menangis jika tidak melihat ibu bapa atau orang yang tidak dikenali berhampiran dengannya. 


Peringkat kedua ialah fasa autonomi lawan keraguan yang berlaku pada kanak-kanak berumur 18 bulan hingga 3 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak akan cuba berdikari untuk melakukan aktiviti fizikal tanpa memerlukan bantuan orang dewasa. Sebagai contoh, kanak-kanak yang ingin cuba makan dan minum sendiri, membuang air, memakai kasut dan sebagainya. Kanak-kanak yang diberi sokongan untuk meneroka perlakuan fizikal ini akan mempunyai keyakinan diri atau autonomi manakala yang tidak diberi peluang akan merasa ragu-ragu terhadap kebolehan dirinya. 


Peringkat ketiga ialah fasa ikhtiar lawan rasa bersalah pula akan ditempuhi oleh kanak-kanak yang berumur 3 hingga 6 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak akan terus bersikap berdikari dengan meneroka persekitaran dan kemahiran baru yang digemarinya. Mereka suka dan kerap kali bertanyakan soalan dan mahukan penjelasan untuk setiap situasi yang berlaku. Sokongan yang diberi akan menggalakkan inisiatif dalam diri kanak-kanak tersebut. Manakala, kanak-kanak yang tidak diberi peluang atau dihukum akan rasa bersalah dan tidak yakin terhadap dirinya sendiri. 

Secara teori, peringkat keempat ialah fasa berdaya usaha lawan rendah diri yang wujud pada kanak-kanak yang berumur 6 hingga 12 tahun. Setiap kanak-kanak akan menghadapi peringkat pembelajaran kemahiran baru atau menghadapai risiko perasaan rendah diri jika menemui kegagalan atau tidak cekap terhadap sesuatu perkara. Contohnya dapat dilihat pada kanak-kanak yang telah memasuki alam persekolahan. Mereka akan berusaha sadaya upaya untuk mendapat kedudukan terbaik di dalam kelas. Mereka sering bersaing dengan rakan dalam apa jua aktiviti yang dilakukan. Kanak-kanak ini akan berasa rendah diri apabila gagal mencapai apa yang diinginkan. 

Peringkat kelima ialah fasa identiti lawan ego rendah yang berlaku pada kanak-kanak yang sudah meningkat remaja. Mereka mula dan sentiasa mencari identiti diri sama ada dalam personaliti, bidang pekerjaan, perasaan jantina, politik dan agama. Pada peringkat ini, mereka keliru terhadap identiti diri seterusnya mudah terikut dan terpengaruh terutamanya persekitaran sosial mereka. 

Memasuki fasa intim lawan bersendirian, individu yang dalam lingkungan umur 20-an mula membina hubungan rapat sama ada sebagai kawan atau kekasih. Individu ini mula mengenali diri sendiri. Pada peringkat keenam ini, krisis utama ialah membentuk hubungan intim melalui perkahwinan serta membina kehidupan berkeluarga. Individu pada peringkat ini sudah berupaya menjaga dan melindungi individu lain (suami atau isteri dan anak) tanpa hilang identiti diri. Mereka yang tidak dapat membina keintiman akan rasa terasing dan akan menghindari perhubungan dengan orang lain. 


Peringkat ketujuh ialah fasa generatif lawan stagnasi akan dilalui oleh individu dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an. Generatif merujuk kepada usaha seseorang untuk memberi sumbangan untuk generasi akan datang. Seorang dewasa akan berpuas hati sekiranya dapat mambantu masyarakat dan Negara. di samping itu, mereka juga akan menjalani kehidupan berkeluarga dan berkerjaya yang baik. Kegagalan akan membawa kepada perasaan kecewa dan tidak berpuas hati  serta mementingkan diri sendiri. 

Peringkat kelapan ialah fasa integriti lawan rasa kecewa berlaku pada individu yang menjangkau umur lebih 50 tahun. Individu yang telah sampai ke peringkat ini telah melalui pelbagai pengalaman dan cabaran dalam hidupnya. Individu yang berjaya malaui segala krisis perkembangan akan membawa kepada kedudukan dan kekecewaan di hari tua. 

Teori Perkembangan Robert Havighust


Robert Havighurst dilahirkan pada 5 Jun 1900. Beliau merupakan pemegang ijazah Ph.D dalam bidang kimia dari Universiti Ohio. Beliau pernah menjadi guru Sains di Sekolah Tinggi dan Maktab Perguruan. Havighurst telah mengubah haluan kerjayanya kepada mengkaji perkembangan remaja dan proses pendidikan. Beliau mendapat gelaran Professor Emiritus in Development and Education, dan berjaya menerbitkan buku yang bertajuk “Human Development and Education” pada tahun 1953. 

Robert Havighurst menerangkan konsep tugas dalam teori perkembangannya. Menurut beliau, pada setiap peringkat perkembangan, manusia ada tugas yang perlu dicapai. Keupayaan menyempurnakan tugas tersebut dengan jayanya akan membawa kebahagiaan kepada individu manakala kegagalan dalam menyempurnakan tugas tersebut akan menyebabkan individu mengalami masalah dalam tugasan-tugasan berikutnya. Beliau juga percaya bahawa perkembangan manusia dipengaruhi oleh persekitarannya, nilai-nilai, norma dan budaya masyarakat. 

Setiap kategori tugasan yang timbul adalah akibat daripada kematangan fizikal, perkembangan peribadi dan keperluan masyarakat. Kematangan fizikal merujuk kepada aksi-aksi berjalan, bercakap, akil baligh, tarikan seks dan kesan-kesan monopos. Perkembangan fizikal pula merujuk kepada perkembangan keperibadian, nilai-nilai, pembinaan konsep kendiri, harga diri serta kemahiran untuk berjaya dalam kerjaya. Keperluan masyarakat merujuk kepada proses membina tanggungjawab kepada masyarakat. 

Robert Havighurst telah menyenaraikan enam peringkat perkembangan manusia dalam teorinya. Peringkat pertama ialah peringkat bayi hingga awal zaman kanak-kanak, iaitu dari kelahiran hingga berumur 5 tahun. Berdasarkan teori, pada peringkat ini bayi mula menjalinkan kasih sayang dengan ibu bapanya. Pada tahap ini, kanak-kanak mencapai kecerdasan deria dan memahami sifat objek. Sebagai contoh, mereka ketawa kerana gembira. Melalui pemerhatian, kanak-kanak mula belajar makan makanan pejal dengan sendiri dan berhubung melalui isyarat, simbol atau tanda. Daripada pengalaman dan penerokaan yang dialami, kanak-kanak ini juga mula memahami tindakan-tindakan yang betul dan yang salah. 

Peringkat kedua ialah peringkat pertengahan zaman kanak-kanak, iaitu berumur 6 hingga 12 tahun. Pada peringkat ini mereka mula belajar kemahiran-kemahiran fizikal untuk bermain. Contohnya, belajar membaling atau menyambut bola dengan betul. Mereka mula bersosial dengan kanak-kanak yang sebaya dan mula memahami peranan bermasyarakat. Mereka lebih berdikari dan membentuk konsep diri yang positif. Bagi kanak-kanak yang sudah masuk ke alam persekolahan, mereka mula membina kemahiran-kemahiran membaca, menulis dan mengira. 

Peringkat ketiga ialah peringkat remaja, iaitu berumur 13 hingga 18 tahun. Pada peringkat ini, persahabatan yang lebih matang dibina dengan rakan-rakan yang dipercayai. Mereka ingin mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa dan orang dewasa. Walau bagaimanapun, ibu bapa haruslah memberi lebih perhatian supaya mereka tidak terlalu bebas tanpa pengawasan. Mereka juga mula ingin mengurus kewangan sendiri dan membina ideologi sendiri. 

Peringkat keempat ialah peringkat awal dewasa. Pada umur 19 hingga 29 tahun, mereka mula membuat pilihan-pilihan kerjaya yang bernas di samping memulakan perhubungan intim. Mereka lebih bersedia untuk berkahwin dan memulakan kehidupan rumah tangga. Pertambahan ahli dalam keluarga mengakibatkan mereka mula membentuk kumpulan sosial sendiri. 

Peringkat kelima ialah pertengahan dewasa, iaitu dalam lingkungan umur 30 hingga 60 tahun, mereka mula membantu kanak-kanak dan membenarkan kanak-kanak membuat keputusan. Pada peringkat ini juga mereka berada dalam fasa pengukuhan kerjaya atau mula berkerja sendiri. 

Peringkat keenam ialah pada peringkat kematangan lewat, iaitu berumur 60 tahun dan ke atas. Pada peringkat ini mereka lebih mementingkan kesihatan diri, gaya hidup yang positif  dan pecapaian kerohanian. Mereka sering menggunakan kebijaksanaan dan sering menjadi tumpuan orang lain.